Saturday, February 11, 2012

EPAL TAK MANIS

https://www.facebook.com/groups/156266277748013/
slogan : "Rasa cinta kita seperti manisnya epal merah"      
PERADUAN MENULIS CERPEN sempena penerbitan novel MERAH CINTA EPAL (Kaki Novel) karya Ridha Reeani.      


        Viviana tersandar lesu. Wajahya pucat kepenatan. Dengan tudung tak dibuka, terus dipejamkan mata. Berehat sesaat dua. Kerja yang tak pernah sudah seakan menggamitnya berbumbung di pejabat. Mengingatkan status diri, pulang jua ia ke rumah.


“Vee dah balik? Buatkan abang air. Hauslah,” pinta Danish seraya menuruni anak-anak tangga.


Tanpa keluhan, terus Viviana bangun. Sebelah tangan menekan pinggang. Sedikit sakit dibahagian belakang. Perlahan, kakinya di atur menuju ke ruang dapur. Danish melangkah ke ruang tamu. Duduk di sofa L seraya televisyen dibuka.


Viviana capai gelas yang kemas tersusun di atas rak lalu jus oren dituang.


“Vee, potongkan sekali kek pisang dalam peti ais tu. Abang rasa nak makan pulak,” laung Danish dari depan.


Viviana sekadar menurut. Peti ais dibuka lalu kepingan kek pisang yang awal-awal lagi sudah dipotongnya diletakkan ke dalam piring.


“Mama, dik Farah nangis kat atas tu. Cepat mama! Kakak tak tahu nak buat apa,” ujar Farhana tercunggap-cunggap. Penat berlari menuruni anak-anak tangga.


“Abang, tengokkan Farah kat atas kejap. Dia nangis dah tu. Lapar agaknya,” pinta Viviana seraya tanggannya mendulang hidangan.


“Vee jelah yang tengokkan. Sejak tadi melalak je Farah tu. Bingitlah telinga abang dengar,”


Terkedu Viviana mendengar. Tanpa balasan, tangan anak gadisnya ditarik sama ke tingkat atas. Mendapatkan anak keduanya. Masih lagi dalam buaian.


***


“Mama, papa dah tak sayang kita ke?” soal Farah tiba-tiba.


Tergamam Viviana. Langsung tak menyangka anak sekecil itu mampu menelaah suasana.


Tangan kecil yang ralit memicit-micit bahunya diraih. Dikucup. Penuh kasih sayang. “Kenapa kakak tanya mama macam tu? Papa mestilah saya kita. Sayang kakak dan sayang adik jugak,”


“Kenapa papa dah tak macam dulu? .. mama, mama! Tadi tok abah dan tok mama datang. Tok mama marah-marah papa. Lepas tok abah dan tok mama balik, papa mengamuk. Papa jerit kuat-kuat. Papa cerlung kat kakak. Papa marah kakak sampai dik Farah terjaga. Dik Farah menangis, papa buat tak tahu je. Kakak bagi adik susu. Adik tak nak. Nasib baik, mama balik cepat. Kalau tak kakak tak tahulah nak buat apa,”


Si kecil Farhana mengadu.


Pahit Viviana kulam senyuman. Tahu benar tujuan kedatangan mak dan bapa mentuanya itu. Farah dikembalikan ke dalam buaian.


“Jom, tolong mama masak! Kakak tak lapar?”


“Yeahhh! Boleh masak. Lapar! Lapar! Mama kita masak tom yam mama. Kasi pedas kaw-kaw gitu,”


Ketawa kecil Viviana. Sedikit tercuit dengan baris kata terakhir bibir comel itu.


“Papa suka pedaskan, ma? Mama masak sedap-sedap. Pedas-pedas. Nanti, mesti papa sayang balik kat kitakan, mama?”


Terpaku Viviana. Farhana masih dalam usia lapan tahun sudah fasih bertutur sebegitu.


Tanpa sedar, keluhan dilepaskan. Sejauh manakah rumahtangganya boleh bertahan. Sekiranya, ombak dugaan selalu datang menumpang?


***


        Kuat ketukan pintu kedengaran. Lena Viviana terganggu. Sekilas wajah bersih si Farah dipandang. Bimbang si kecil terjaga, tergesa-gesa Viviana berlari ke muka pintu.


“Vee ni kan! Tahu tak dah berapa lama abang duk tercongok kat depan pintu ni? Apa Vee ingat abang ni tiang bendera? Vee, abang ni jaga ke nak duk kat luar lama-lama? Vee tahu tak yang abang ni penat? Penat dengan Vee lagi. Abang rimaslah! Sudahlah! Abang nak naik atas. Nak berehat. Menghadap muka Vee lama-lama bukan boleh hilangkan penat abang ni!”


Terus dihambur amarah. Langsung tiada dihiraukan perasaan sang isteri. Bagaikan wanita itu tunggul kayu boleh diperlaku sesuka hati.


Viviana terdiam. Jam di dinding dikerling. Mengarah ke angka 3 pagi. Matanya masih lagi layu menuntut lena. Kepalanya terasa sedikit pening. Tekaknya mual. Mana tidaknya. Alergik benar dia dengan bau pewangi si Danish. Kuat semacam.


Tergesa-gesa, dia ke tandas. Memuntahkan baki bersisa.


“Huh! Orang lain mengandung jugak! Tak adalah nak termuntah-muntah macam Vee ni. Menyusahkan orang jelah! Vee jangan menyusahkan abang boleh tak? Abang nak rehat! Bukan nak melayan Vee je!”


Mahu tak mahu dipicit-picit jua belakang leher si isteri sambil mulutnya tidak habis-habis mengomel. 


Sebak Viviana mendengar rungutan manusia bergelar suami. Pantas, tangan lelaki ditepis halus.


“Vee nikan! Sudahlah! Abang letih. Malas nak layankan Vee ni. Abang nak tidur,”


Terus Danish melangkah pergi. Terkesima Viviana. Setitis air mata menitis. Sudah berkali-kali dia mengingatkan diri. Jangan pernah menangis kerana lelaki namun, apakan daya mutiara kaca itu hadir tanpa dapat ditahan. ‘Bangga’nya dia bersuamikan Danish. Lelaki berpakej lengkap kononnya. Yang baik, memang nampak dimata orang tapi tersirat hanya dia dan anak-anak yang tahu. Payaunya menelan, tiada tertahan.


***


       Usai mengemas meja, terus kunci kereta dicapai. Tak mahu terlewat sampai ke tempat kerja. Si comel Farah dihantar ke pusat asuhan. Si kecil Farhana dihantar ke sekolah. Entah Danish dirasuk apa, awal-awal lagi sudah memecut kereta.


Ada kerja, mungkin!


Viviana bersangka baik. Lagu pujaan hati berdering kuat. Sungguh membingitkan telinga mendengar. Segera, persona putihnya diberhentikan ke tepi jalan. Bunyi deringan dicari. X6 milik Danish rupanya tertinggal dalam keretanya. Tanpa mengesyaki apa-apa, jarinya menghala ke arah skrin. Menyentuh ‘answer’.


“Danish sayang, cepatlah datang. I dah siapkan sarapan untuk you ni. Penat tau I masak. Upah untuk you pasal temankan I semalam. Okey, ya ! I tunggu you datang. Muahh!”


Klik! Talian dimatikan.


Terkedu Viviana. Kedua-dua tangannya menggigil. Langsung, hilaian kuat tercampak kuat.


Suami? Danish? Papa? Bagus! Suami solehah!


***


“Vee, abang outstation dua hari,” ujar Danish ringkas sambil tangan kirinya melakar pelan di kertas lakaran.


Viviana membatu. Langsung tiada respon diberikan. Ralit tangannya menukar lampin bayinya.


“Vee, nanti buatkan abang kopi susu. Hauslah,”


Viviana pekak kan telinga. Masih diam tanpa bicara.


“Abang cakap dengan Vee nikan!”


Tingkah tangannya terhenti sesaat sebelum kembali menyiapkan anaknya. Ditepuk sekali dua si anak sebelum bangkit berdiri. Menuju ke ruang dapur. Tak sampai lima minit, Viviana kembali mendulang secawan kopi.
Diletakkan minuman itu tanpa suara. Danish menjeling tak puas hati. Barannya seakan menjengah.


“Vee ni kenapa? Dah jadi bisu ke apa? Setahu abang, abang tak pernah kahwin dengan orang bisu,”


Sinis dipendengaran Viviana. Viviana jungkit keningnya.


Hmm?


“Sudahlah, tak habis-habis nak menyusahkan abang. Tiap-tiap bulan nak ke klinik. Klinik kerajaan tak mahu pergi. Klinik swasta jugak Vee nak pergi! Vee tahu tak dengan bil air, elektrik, internet yang menimbun-menimbun. Vee la yang biarkan je si kakak tu tak tutup lampu sampai pagi. Main air tak henti-henti. Budgetpun dah lari!”


Viviana picit pangkal hidung sebelum berdiri menghampiri tas tangannya. Beberapa keping not RM100 di keluarkan. Diserahkan kepada suaminya.


Makin berang Danish dibuatnya.


“Vee ni kenapa? Nak berlagak dengan abang ni! Abang tahulah yang abang ni pelukis pelan je. Nak dibandingkan dengan gaji Vee berangka-angka!”


“… tadi abang gak yang merungut budget dah lari,”


“Bila abang cakap menjawab !! Dah teringin nak jadi isteri derhaka gamaknya!”


X6 milik Danish bergetar. Pantas, Danish mencapai. Senyuman melebar tersungging dibibir. Kelu Viviana memandang. Panas ditubir matanya.


Menyedari si isteri berdiri di hadapan, pantas Danish menarik kembali lirikan senyuman. Viviana tayang muka tanpa perasaan. Pura-pura menguap. Mengantuk benar gayanya.


***


        Teriakan jam loceng mengejutkan pagi Viviana seperti biasa. Jam di dinding dipandang. Enam pagi. Segera kakinya di atur ke bilik air. Mahu membersihkan diri.


Kepalanya terasa huyung. Pening.


Cepat-cepat, tangannya menekan dinding. Cuba mengawal posisi. Mengelak dari rebah.


“Yang Vee duk tekan-tekan dinding tu apahal? Mandilah cepat, abang nak mandi lak nanti!” suara geram Danish masih lagi berkeadaan mamai.


Viviana pejam matanya rapat. Digagahi jua kakinya melangkah masuk ke dalam bilik air.


Gedebuk!


Ahhhhhhhh!


Menjerit Viviana kesakitan.


Terkejut Danish mendengar jeritan. Bingkas dia bangun. Berlari mendapatkan Viviana.


“Bukak pintu ni, Vee!”


“A .. a .. abang to .. tolong,”


Tanpa berlengah, terus pintu dipecahkan.


“Ya Allah!”


***


Ke hulu ke hilir Danish di ruang menunggu. Bimbang bersarang sarat. Bimbang andainya si isteri di ambang maut.


“Tak payah khuatirkan sangatlah. Kalau perempuan tu mampus, kau kahwin jelah dengan perempuan lain!”


Terbuntang mata Farhana mendengar bicara tok mama. Danish yang mendukung anak kecilnya seakan berasap telinga.


“Mama sedar tak yang Vee tu isteri saya?”


“Huh! Isteri kau mama peduli apa? Dari dulu mama tak berkenan dengan anak cina tu. Mama cukup tak berkenan dengan keturunan mata sepet tu!”


“Syidah, udah-udah marahnya tu. Dah dua orang dah anak mereka. Dah bahagia hidup mereka. Lagipun, Vee tu menantu yang baik. Jaga makan pakai kita bila kita sakit. Bila kita susah!”


“Huh!”


“Saya kalau tak suka sampai bila-bilapun tak suka, bang!”


“Awak ni memang degil! Sampai menantu awak jadi macamnipun awak masih lagi bencikan dia. Eloklah tu! Elok sangat. Saya diam selama ni, ikut karenah awak, awak jangan fikir saya setuju. Saya suka,”


“Mama, abah, janganlah bergaduh. Otak saya dah cukup serabut dah ni,”


“Eh, you buat apa kat sini, sayang?”


Soal seorang gadis tiba-tiba. Nada teruja.


Tok abah kerling maut melihat gaya gadis itu berpakaian. Macam Malaysia ni panas sangat je.


“E’eh anak sapa you pegang ni? Comel. Ni orang tua selekeh mana ni? You buat apa kat sini? You tolong hantar mereka ke klinik ya? Baiknya hati you,”


Bayi di dalam dukungan di ambilnya seraya diserahkan kepada Tok mama.


“Mak cik, boyfie saya ni tak sesuai pegang budak kecil macam ni. Jom, sayang! Teman I shopping,” ujar Melinda dengan gaya tergedik-gedik.


Ternganga Tok mama dan tok abah memandang.


“Mak cik yang tak cukup kain, papa saya ni bukan anak patung boleh tarik-tarik sesuka hati,” Farhana bersuara.


Bila budak besar tak nak cakap, budak kecik pun boleh cakap apa.


What the … budak ni! Anak sapa ni, sayang? Kurang ajar! Mak cik? Tak cukup kain? Kau tahu tak ini namanya fesyen. Takkan nak jadi hantu pocong bungkus macam perempuan tua ni pula! Pleaselah! Tak up to date langsung,”


Danish tarik tangan kirinya yang masih dalam pelukan. Rimas.


“Maaf. Ni, anak I. Actually, I dah kahwin. Dah sepuluh tahun I kahwin,”


What? What thee? You? You tipu I? Sampai hati you tipu I cakap you masih bujang?”


Berlinangan mutiara jernih ditubir mata gadis seksi itu. Rasa bersalah muncul dihati Danish.


“Melinda! Melinda, sorry. I …,”


“Sudahhh! Pergi mati dengan you punya sorry!”


Berlari Melinda keluar. Malu berbuku. Geram dan marah berbaur.


“Awak tengok apa anak manja awak ni dah buat, Syidah!”


Tok mama terdiam. Mulutnya bagai digam. Langsung tiada bantahan.


***


       Terasa berat mahu membuka kelopak mata. Terasa malas hendak meneruskan kehidupan berliku. Terasa berat bebanan terpikul.


“Vee!”


“Mama! Mama dah sedar!”


“Alhamdulillah,”


Perlahan-lahan, Viviana mencari kelibat si empunya suara. Danish. Farhana dan Farah. Tok mama. Tok abah.


“Kakak risau tengok papa dukung mama. Kakak risau tau tengok papa jerit suruh kakak dukung adik bawak masuk kereta. Kakak ris…,”


“Sudahlah tu, kakak. Yang penting mama selamat,” ujar tok mama sebaris.


Terdiam semuanya mendengar bicara tok mama.


Bingung Viviana dengan reaksi semua. Bagai berubah sekelip mata. Adakah dia sekadar bermimpi? Bermimpi seakan mengengam bahagia? Diterima semua?


Ah, lawak percuma! Sekadar ilusi berwayang.


“Vee … ab .. abang …,”


“Syidah, kakak, jom pergi makan sat. Tok abah laparlah,” ajak Tok abah. Berniat memberi ruang anaknya membetulkan keadaan.


Viviana sekadar memandang. Malas memberi ulasan.


“Vee …,”


Viviana memalingkan mukanya. Tak sanggup mendengar ungkapan seterusnya. Seakan dapat meneka bicara diakhirnya.


“Abang minta ..,”


“Kalau abang nak ceraikan Vee .. vee terima … abang kawinlah dengan Melinda tu … dan Vee tahu abang pernah tidur dengan dia. .. Vee tahu apa yang abang lakukan dibelakang Vee. Vee masukkan simcard abang dalam handphone Vee … Segala mesej yang Melinda hantar , masuk ke dalam telefon Vee … terima kasih di atas semua ni. Terima kasih sebab sudi kahwini Vee .. terima kasih sebab sudi terima Vee selama sepuluh tahun perkahwinan kita … Vee takkan halang cinta abang … kalau hati abang bukan lagi milik Vee, lepaskan Vee .. biarkan Vee dan anak-anak bebas. .. Vee nampak sejak abang ada Melinda Vee dan anak-anak, abang tolak tepi … Vee tak buta untuk menilai. Vee diam .. Vee tak merungut .. Vee tak bersuara. Kerana apa ? Kerana Vee bimbang kita akan bertengkar dan saat itu Vee akan tinggikan suara pada abang. Vee tak nak masuk neraka percuma. Vee minta maaf. Vee rela berkorban demi kebahagian abang. Cuma Vee nak abang tahu, Vee sayangkan perkahwinan kita. Vee sayangkan keluarga kita. … Vee .. sayangkan abang sama macam dulu walau seteruk mana abang toreh luka dalam hati Vee … Vee redha ..,”


“Veeeeee …! Abang minta maaf. Abang sayangkan Vee. Sayang sangat-sangat. Abang minta maaf dengan sikap abang selama ni. Abang takkan ceraikan Vee. Abang janji ! Lepas ni, abang takkan begini lagi. Abang janji akan bahagiakan Vee dan keluarga kita. Abang takkan sia-siakan keluarga lagi. I love you, Vee .. I love you …,”


Terus tubuh lemah Viviana didakap erat. Dua-dua berlinangan air mata.







1 comment:

  1. best! :) Cuma ada sedikit kesalahan ejaan dan penggunaan imbuhan. Apa-apa pun, tahniah untuk cerpen sebaik ini! Terima kasih, writer! ^^

    ReplyDelete